28 Disember 2009

Gotong Royong Perdana

Alhamdulillah, Gotong Royong Perdana berjalan seperti yang dirancang. Terima kasih kepada semua wakil dari persatuan-persatuan penduduk dan surau-surau di sekitar Taman Bukit Subang, wakil jemaah dari Denai Alam dan wakil-wakil pertubuhan politik yang dijemput kerana telah hadir dan memberikan sumbangan tenaga dan sokongan moral. Terima kasih di atas sumbangan kewangan dari individu-individu dari kalangan jemaah. Walaupun tiada sumbangan kewangan dari badan-badan pertubuhan politik dan persatuan penduduk, namun program dapat mencapai matlamatnya. Tahniah dan jazakallahu khairan kathira kepada semua yang hadir (lebihkurang 30 orang) kerana menghabiskan masa cuti bersama-sama menyiapkan kerja asas tapak khemah. Semoga sumbangan titik peluh ikhlas dari mereka yang hadir dilimpahkan ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT dan menjadi amal jariah berkekalan.

Terima kasih juga diucapkan kepada YB Khalid Samad kerana sudi meluangkan masa meninjau perjalanan program.

Di bawah ini disertakan gambar-gambar sekitar gotong royong yang diadakan pada pagi Sabtu 26/12/09.

Wassalam.



YB Khalid bersama Sdr Tarmizi dan Arwan






Kanak-kanak turut sama membantu


YB Khalid bersama Sdr Tarmizi dan Sdr Jamil


Imam Syobah, Ust Mazlan dan Sdr Azmira


Tanah-tanah yang telah digali dibawa ke tempat buangan dengan kereta sorong


Panas mentari tak menjadi halangan....


Tenaga belia digunakan untuk mengangkat tanah

23 Disember 2009

Gotong Royong Perdana

Insya Allah, Surau Al-Mahdi akan mengadakan Gotong Royong menyediakan tapak khemah separuh kekal di kiri bangunan surau pada hari Sabtu 26/12/2009 bermula jam 9 pagi. Semua anak kariah di sekitar Taman Bukit Subang dan Denai Alam dialu-alukan untuk sama-sama hadir bergotong royong sambil merapatkan silaturrahim sesama insan dari berbagai lapisan masyarakat. Sumbangan berupa tunai/barangan amat dialu-alukan untuk menampung kos gotong royong dan projek seperti bahan-bahan pasir, batu, simin dan jubin seramik, dan peralatan seperti cangkul, kereta sorong, dan lain-lain.Tajaan makanan dan minuman juga dialu-alukan.
Semoga sumbangan ikhlas semua sukarelawan dan dermawan mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.
Wassalam.

15 Disember 2009

Khatan Perdana

Alhamdulillah, Program Khatan Perdana anjuran MPP Zon 22 dengan kerjasama Surau Al-Mahdi, Surau Nurul Iman dan Surau Al-Falah berjaya dilaksanakan. Seramai 36 orang kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 11 tahun telah dapat dikhatankan. Majlis meraikan peserta-peserta khatan telah diadakan pada hari Sabtu 5/12/09 dengan Solat Hajat & Doa Selamat di Surau Al-Mahdi dan disudahi dengan merenjis air mawar & jamuan makan di Dewan Rafflesia. Acara berkhatan pada pagi Ahad 6/12/09 telah dimulakan dengan perarakan peserta-peserta khatan dari perkarangan Surau Al-Mahdi hingga ke Dewan Rafflesia dengan iringan paluan kompang. Peserta-peserta khatan telah didukung/dijunjung oleh bapa/penjaga masing-masing semasa perarakan tersebut dan mereka kemudian di'siram' dengan pancuran paip Bomba sebelum dibawa ke Bilik Khatan di dalam Dewan Rafflesia.

Operasi berkhatan bermula pada jam 9.45 pagi dan berakhir pada jam 2.45 petang.


Terima kasih kepada semua peserta khatan, para ibubapa, Mediklinik Bukit Subang & 6 orang pembantu perubatannya, pihak Bomba Sg Buloh, pihak RELA, MPP Zon 22 dan semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.


Jazakallahu khairan kathira.




Peserta-peserta khatan diraikan di pentas




Menerima bunga rampai dari VIP




Berbaris menunggu bermulanya acara perarakan



Acara perarakan dengan iringan paluan kompang



Acara ber'siram'



Berehat sebentar selepas selamat dikhatankan...

02 Disember 2009

Qurban 1430H

Alhamdulillah, kita telah berjaya sempurnakan majlis Qurban yang diadakan pada petang Hari Raya Qurban lalu. Terima kasih kepada semua peserta Qurban dan petugas-petugas sukarela yang membantu menguruskan upacara Qurban tersebut. Jazakallahu khairan kathira.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar upacara Qurban tersebut:

Menumbangkan Lembu

Melapah.....

Memotong & membahagi ....

24 November 2009

Solat Sunat Hari Raya Aidil Adha dan Qurban

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua muslimin & muslimat. Insya Allah, solat sunat hari raya Aidil Adha akan dimulakan pada jam 8.30 pagi pada hari Jumaat 27/11/09 ini.

Upacara Qurban akan diadakan selepas Solat Jumaat mulai jam 2.15 petang. Sebanyak 3 ekor lembu akan ditumbangkan, samada untuk ibadah qurban, aqiqah atau sedekah. Agihan daging qurban akan dimulakan sekitar jam 5.30 petang.

Sekian.

28 Oktober 2009

Sebutharga Khemah Separuh Kekal

Kontraktor-kontraktor bumiputera dipelawa untuk menyertai sebutharga berikut:

"Membekal dan memasang satu unit khemah berkerangka besi, bertiang besi bergalvani dan berbumbung metaldeck dengan saiz tapak lebihkurang 40 kaki x 40 kaki."

Lawatan tapak ditetapkan pada Sabtu 31/10/09 jam 10.00 pagi. Kontraktor yang ingin menyertai sebutharga dikehendaki hadir semasa Lawatan Tapak. Tarikh tutup sebutharga adalah pada 05/11/09.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Setiausaha (012-3761577).

Wassalam wbk.

03 Oktober 2009

Baro'an Merapatkan Silaturrahim

Alhamdulillah, pihak surau berjaya memulakan konsep baro'an (ziarah ke rumah-rumah sempena Hari Raya) di perjiranan Kenanga, Beringin dan Denai Alam. Baro'an ini telah lama dijalankan di perjiranan Teres Melati. Seramai lebihkurang 15 orang jemaah telah sama-sama berselawat dan membaca doa selamat dari rumah ke rumah sahabat yang sudi mempelawa jemaah surau ke rumah mereka. Konsep baro'an ini lebih mementingkan kunjungan dan bukannya hidangan, dan namun kami dihidangkan dengan jamuan yang agak berat di kebanyakan rumah yang dikunjungi.


Semoga konsep ini akan diteruskan pada masa akan datang, dan akan berkembang ke seluruh Bukit Subang dan Denai Alam sebagai langkah merapatkan silaturahim.


Di rumah Sdr Firdaus, Kenanga


Di rumah Sdr Basran, Kenanga


Di rumah Hj Khairul, Denai Alam


Di rumah Sdr Khairul Az, Kenanga


Di rumah Sdr Nasir, Kenanga


Di rumah Sdr Nazri, Kenanga


Di rumah Sdr Sanusi, Denai Alam


Di rumah Sdr Firdaus, Kenanga


Di rumah Sdr Sanusi, Denai Alam



Di rumah Khairul Az, Kenanga


Di rumah Hj Khairul, Denai Alam




Di rumah Sdr Shahrin, Kenanga


Di rumah Sdr Shahril, Beringin


Arwan dan keluarga Sdr Shahril, Beringin

26 September 2009

Projek Memasang Penghawa Dingin Di Dewan Solat

Alhamdulillah, pihak surau telah mendapat sumbangan yang mencukupi untuk memasang 2 unit penghawa dingin di dewan solat. Terima kasih di atas sumbangan daripada semua dermawan dari kalangan ahli kariah Bukit Subang dan Shah Alam. Sumbangan masih terbuka untuk melengkapkan dewan solat dengan 4 unit penghawa dingin lagi seperti yang dirancang. Begitu juga dengan projek memasang khemah separuh kekal di dataran surau untuk tambahan ruang solat yang baru menerima sumbangan tidak sampai RM1,000.

Pihak Surau kini membuka penyertaan sebutharga dari kalangan kontraktor untuk memasang 2 unit penghawa dingin termasuk membuat pendawaian untuk 6 unit penghawa dingin. Syarat dan terma sebutharga boleh diperolehi di Papan Kenyataan Utama Surau dan kontraktor yang berminat bolehlah menyerahkan sebutharga mereka kepada Setiausaha atau Bendahari Surau pada atau sebelum 29/9/09. Berpandukan sebutharga ini, pemasangan unit-unit penghawa dingin tambahan akan dilakukan apabila dana mencukupi kelak.

Sekian, dan wassalam.

Eid Mubarak



Ahli Jawatankuasa dan Pegawai Surau Al-Mahdi mengucapkan Selamat Hari Raya Idil Fitri, dengan ingatan tulus ikhlas dan maaf zahir & batin.

Semoga Ramadhan yang berlalu membawa makna kepada semua warga Bukit Subang dan Denai Alam, dan semoga semangat Ramadhan berpanjangan melangkaui Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah dan seterusnya ke bulan-bulan berikutnya. Alhamdulillah, Surau Al-Mahdi kekal penuh dari 1 Ramadhan hingga ke malam 29 Ramadhan. Imarahkan surau sebagaimana kita mengimarahkannya sepanjang Ramadhan yang lalu.




Allah Akbar, Allah Akbar, Allah Akbar!




15 September 2009

MB Selangor bersolat Jumaat di Surau Al-Mahdi

Pada Jumaat 11/9/09, MB Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah bersama-sama bersolat Jumaat di Surau Al-Mahdi. Ini merupakan kunjungan pertama MB sejak surau ini mula digunakan.
YAB Tan Sri hanya sempat meluangkan masa sebentar sahaja di Surau Al-Mahdi. Namun begitu, beliau sempat menyorot kembali hasil kerja beliau di Bukit Subang semasa beliau menerajui Guthrie Bhd. Semoga dengan kunjungan beliau ke Bukit Subang, Surau Al-Mahdi dan Bukit Subang dapat tempias pembangunan kerajaan negeri Selangor.


YAB Tan Sri bersama-sama Pengerusi Surau Sdr Tarmizi, Sdr Jamil dan Bendahari Surau Sdr Arwan


YAB Tan Sri berbincang sesuatu dengan YB Khalid Samad dengan diperhatikan oleh Sdr Tarmizi dan Sdr Jamil




YB Khalid Samad diiringi keluar oleh Bilal Hj Akhiruddin


YAB Tan Sri bersalaman dengan jemaah selepas Solat Jumaat


Gambar-gambar ihsan dari Sdr Faisal.

15 Ogos 2009

Program Ihya' Ramadhan

Assalamualaikum wbk.

Bulan Ramadan 1430H akan berkunjung tiba tidak lama lagi. Insya Allah, Surau Al-Mahdi akan mengadakan program-program Ihya’ Ramadhan berikut:

Bubur Lambuk untuk Berbuka Puasa
o Terbuka untuk tajaan oleh individu atau kumpulan/syarikat yang berminat.
o Bubur lambuk akan diagih-agihkan pada setiap hari kepada anak kariah yang berminat selepas Solat Asar.

Solat Sunat Tarawih dan Witir

Tahlil Arwah
o Diadakan pada setiap malam kecuali pada malam-malam yang mana tazkirah diadakan
o Tahlil arwah ini akan diadakan selepas solat witir.
o Sumbangan ikhlas dialu-alukan.


Solat Hajat

o Solat Hajat akan diadakan sebelum Solat Witir pada setiap malam Jumaat.


Jamuan Moreh
o Diadakan pada setiap malam selepas Solat Sunat Terawih jika ada tajaan sahaja.
o Terbuka untuk tajaan oleh individu atau kumpulan/syarikat yang berminat.

Tadarus Al-Quran
o Diadakan pada setiap malam selepas Solat Sunat Terawih.
o Muslimin yang berkelapangan dialu-alukan untuk sama-sama bertadarus. Sila hubungi Imam Syobah jika ingin menyertainya.
o Majlis Khatam Quran akan diadakan pada malam 24 Ramadan 1430H.

Qiamullail
o Qiamullail akan diadakan pada awal pagi mulai jam 4.00 pagi pada 31/8/09 dan hari Nuzul Quran (17 Ramadhan) dan akan dibimbing oleh Imam Syobah/Wildan. Insya Allah akan melakukan Solat-solat Tahajjud, Taubat dan Hajat.

Tazkirah dan Kuliah Subuh
o Tazkirah akan diadakan pada malam-malam tertentu selepas Solat Sunat Terawih.
o Kuliah Subuh pula akan diadakan hari Sabtu atau Ahad tertentu selepas Solat Subuh.

Ahli-ahli kariah di Taman Bukit Subang dijemput dan dialu-alukan untuk bersama-sama di dalam program-program yang tersebut di atas. Pihak Surau juga mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan untuk menaja program-program yang tersebut di atas. Borang tajaan dan sumbangan boleh didapati di beranda surau. Sila hubungi AJK Surau, En Amir Shukri (019-2297475) atau En Radzi (012-6800623) jika ingin menyertainya tahlil arwah atau menaja program Bubur Lambuk dan Moreh. Kepada semua para penaja, pihak Surau mengucapkan ribuan terima kasih, semoga amal jariah tuan/puan yang budiman diterima Allah SWT dan mendapat keberkatan.

Wassalamualaikum wbk.

08 Julai 2009

Projek Memasang Khemah dan Penghawa Dingin

Khemah

AJK Surau bercadang untuk memasang khemah separuh kekal di perkarangan surau bagi menampung jemaah yang semakin ramai semasa Solat Jumaat dan Solat-solat Sunat Tarawikh & Hari Raya. Pada masa ini, dewan solat tidak mencukupi untuk menampung bilangan jemaah dan ada masa-masanya jemaah terpaksa bersolat Jumaat di dalam keadaan berpanas. Projek ini dianggar menelan belanja seperti berikut:

a) Kos membeli khemah berukuran 39' x 46' - RM15,000
b) Sistem pendawaian, lampu dan kipas - RM 2,000
c) Kos membeli tikar getah sebagai lapik lantai - RM 3,000
d) Lain-lain kos luar jangka - RM 500
Jumlah - RM20,500

Penghawa Dingin

AJK Surau juga bercadang untuk memasang penghawa dingin di dalam dewan solat bagi menambahkan keselesaan jemaah semasa bersolat dan beribadat di surau. Projek ini merangkumi perkara-perkara berikut:

a) Pemasangan 6 unit penghawa dingin berkapasiti 3.5HP - RM26,500
b) Pemasangan sistem paip dan hos - RM 2,600
c) Sistem pendawaian dan MCB baru - RM 2,500
d) Memasang cermin bagi menutup ruang-ruang terbuka - RM 3,000
e) Lain-lain kos luar jangka - RM400
Jumlah - RM35,000


Sehubungan dengan itu, para jemaah dan dermawan dari kalangan individu mahupun organisasi korporat Islam dialu-alukan untuk menaja atau menyalurkan sumbangan bagi menjayakan kedua-dua projek di atas. Sumbangan boleh dihulurkan menggunakan cek atas nama Bendahari Surau Al-Mahdi atau melalui tabung-tabung yang disediakan khas. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bendahari Sdr Arwan (019-232 7607) atau Sdr Firdaus (012-376 1577).

Semoga sumbangan ikhlas tuan/puan mendapat balasan pahala berlipat ganda dari Allah SWT.



28 Jun 2009

Sedikit Sebanyak Tentang Pengurusan Harta




Taklimat Pengurusan Harta yang diadakan oleh Wasiyyahshoppe pada Sabtu 20/6/09 sedikit sebanyak membuka mata sebahagian dari jemaah yang hadir.

Salah satu perkara yang boleh dikongsi bersama di sini ialah tentang penama untuk simpanan KWSP dan Tabung Haji. Mereka yang dinamakan sebagai penama untuk simpanan KWSP/Tabung Haji bukannya penerima pusaka dari wang simpanan tersebut. Penama berkenaan merupakan wasi atau pemegang amanah. Beliau wajib menguruskan pembahagian wang simpanan tersebut menurut Hukum Faraid. Sekiranya beliau mengambil keseluruhan wang tersebut tanpa menguruskannya terlebih dahulu (membayar hutang-hutang simati, menyempurnakan wasiat (jika ada) dan selebihnya membahagi-bahagikan kepada waris-waris mengikut hukum Faraid), maka beliau telah memakan harta yang batil. Di samping itu, roh simati akan tergantung kerana hutang-hutangnya tidak diselesaikan dsbnya.

Seperkara lagi yang wajar diketahui ialah tentang wasiat. Wasiat di dalam Islam adalah untuk harta-harta yang hendak diberikan kepada bukan waris (seperti anak angkat dll) atau untuk tujuan fisabilillah (untuk rumah anak yatim, masjid, tabung pelajaran dll) dan jumlah yang boleh diwasiatkan tidak lebih dari 1/3 dari keseluruhan harta.
Harta yang difaraidkan kepada waris-waris adalah baki harta yang telah ditolak terlebih dahulu hutang-hutang simati, harta yang diwasiatkan dan harta sepencarian. Waris-waris juga wajar memastikan agar harta simati tidak digunakan untuk urusan kenduri tahlil arwah supaya tidak terguna atau termakan harta yang belum dibersihkan (dari hutang & wasiat), harta anak yatim dan harta waris-waris simati yang lain.

Oleh yang demikian, wajarlah kita sebagai umat Islam memastikan yang kita menguruskan harta kita sebelum mati supaya kematian kita nanti tidak menyusahkan waris-waris dan roh kita tidak tergantung kerana hutang-hutang yang tidak dibayar.

Untuk maklumat lanjut tentang pengurusan harta, bolehlah berhubung dengan Wasiyyahshoppe (013-928 5555/03-7842 3667 atau http://www.wasiyyahshoppe.com.my/). Disyorkan juga untuk membaca buku-buku tentang pengurusan harta dan Hukum Faraid yang banyak terdapat di dalam pasaran. Salah satu buku yang ringkas dan mudah difahami ialah buku bertajuk Urus Harta Sebelum Mati tulisan Us Md Ghazali Ibrahim berharga RM20. Buku ini ada di Surau Al-Mahdi (kecuali jika dipinjam oleh jemaah lain).


Sekian dan ingatlah selalu soalan ini: "Hartamu, ke mana dibelanjakan?"




Wassalam.

26 Jun 2009

Ayat Kursi

Sejarah Ayat Kursi
Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah S.A.W. dengan segera memerintahkan Zaid bSabit menulis serta menyebarkannya.

Fadhilat Ayat Kursi
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpeliharadengan izin Allah S.W.T.

Mengikut Hadis-Hadis Rasullullah S.A.W. bersabda bermaksud:

"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya."

"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar." Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.

Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, iaakan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi, juga Allah melimpahkan padanya rahmat.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azzawajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Marilah kita sama-sama mengamalkan membaca Ayat Kursi dengan penuh khusyuk.

16 Jun 2009

Taklimat Pengurusan Harta

Assalamualaikum wbk,

Surau Al-Mahdi akan mengadakan sesi taklimat Pengurusan Harta bagi mendedahkan anak-anak kariah dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan harta peninggalan. Kebanyakan orang-orang Islam gagal menguruskan hartanya sebelum ia meninggal dunia hingga menimbulkan masalah kepada waris-warisnya. Kerap terjadi kejadian pertelingkahan kerana berebut harta hinggakan ada yang termakan harta anak yatim sama ada secara sengaja atau tak sengaja, dan memakan hak simati sebelum hartanya dibersihkan dari hutang lantaran kegagalan simati menguruskan hartanya semasa beliau masih hidup.

Sesi taklimat ini akan menyentuh tentang sistem faraid, hibah, wasiat, harta sepencarian dan perkara-perkara berkaitan pengurusan harta. Pihak Surau Al-Mahdi telah menjemput Tetuan Wasiyyahshoppe untuk memberikan taklimat tersebut pada ketentuan berikut:

Tarikh: Sabtu 20/6/09
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Surau Al-Mahdi.

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir. Sila war-warkan kepada rakan-rakan dan jiran-jiran terdekat.

Sekian, dan wassalam wbk.

14 Jun 2009

Takaful Khairat Kematian

Ahli-ahli kariah Bukit Subang dialu-alukan untuk menyertai Skim Takaful Khairat Kematian Surau Al-Mahdi yang baru sahaja ditubuhkan. Skim Takaful yang merupakan produk takaful dari Etiqa ini mengenakan bayaran sebanyak RM50 untuk satu keluarga setahun. Sekiranya berlaku kematian, manafaat yang dibayar melalui skim ini adalah:

1) Kematian Ahli - RM5,000
2) Kematian Pasangan Ahli - RM4,000
3) Kematian Anak ahli - RM500

Permohonan untuk menyertai skim ini kini dibuka mulai 15/6/09 sehingga 14/7/09. Selepas dari tarikh ini, permohonan akan ditutup dan ahli-ahli kariah yang ingin menyertainya hanya boleh berbuat demikian apabila skim ini diperbaharui pada tahun hadapan.

Untuk menyertai skim ini, sila dapatkan borang penyertaan di surau atau dari mana-mana AJK Surau Al-Mahdi. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sdr Firdaus (012-3761577), atau Sdr Azmira dari Al-Azza Services Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk menguruskan skim ini.

Sekian.

20 Mei 2009

Program SMART Solat


Alhamdulillah, program SMART Solat berjaya dilaksanakan pada Sabtu 16/5/09 bertempat di Surau Al-Mahdi. Program disertai oleh 100 orang peserta yang terdiri dari kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun. Beberapa permohonan terpaksa ditolak kerana pihak penganjur telah menetapkan untuk menerima 100 orang peserta sahaja supaya bilangan yang dikendalikan oleh setiap seorang fasilitator hanya 10 orang peserta sahaja. Namun begitu, kerana perbezaan umur dan bilangan peserta perempuan melebihi peserta lelaki, maka ada fasilitator yang terpaksa mengendalikan lebih dari 10 orang peserta.



Terima kasih diucapkan kepada semua ibubapa yang sudi menghantar anak-anak mereka mengikuti program ini. Tahniah diucapkan kerana tuan/puan telah menunaikan sebahagian dari tanggungjawab fardu ain menuntut ilmu ke atas anak-anak tersebut. Terima kasih diucapkan kepada barisan fasilitator dari Darul Quran yang diketuai oleh Us Rabiatul Adawiyyah bt Mohd Nasir kerana sanggup datang dari jauh untuk sama-sama berkongsi ilmu. Jutaan terima kasih diucapkan kepada para dermawan yang menaja sebahagian dari kos program iaitu Sdr Ismail dan Sdr Azmira (Al-Azza Services (Etiqa)) dan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada penganjuran program ini.


Insya Allah, jika ada permintaan, program seumpama ini untuk remaja akan juga diadakan.

Wassalam.


Gambar-gambar Program SMART Solat - 5