26 September 2009

Projek Memasang Penghawa Dingin Di Dewan Solat

Alhamdulillah, pihak surau telah mendapat sumbangan yang mencukupi untuk memasang 2 unit penghawa dingin di dewan solat. Terima kasih di atas sumbangan daripada semua dermawan dari kalangan ahli kariah Bukit Subang dan Shah Alam. Sumbangan masih terbuka untuk melengkapkan dewan solat dengan 4 unit penghawa dingin lagi seperti yang dirancang. Begitu juga dengan projek memasang khemah separuh kekal di dataran surau untuk tambahan ruang solat yang baru menerima sumbangan tidak sampai RM1,000.

Pihak Surau kini membuka penyertaan sebutharga dari kalangan kontraktor untuk memasang 2 unit penghawa dingin termasuk membuat pendawaian untuk 6 unit penghawa dingin. Syarat dan terma sebutharga boleh diperolehi di Papan Kenyataan Utama Surau dan kontraktor yang berminat bolehlah menyerahkan sebutharga mereka kepada Setiausaha atau Bendahari Surau pada atau sebelum 29/9/09. Berpandukan sebutharga ini, pemasangan unit-unit penghawa dingin tambahan akan dilakukan apabila dana mencukupi kelak.

Sekian, dan wassalam.

Eid Mubarak



Ahli Jawatankuasa dan Pegawai Surau Al-Mahdi mengucapkan Selamat Hari Raya Idil Fitri, dengan ingatan tulus ikhlas dan maaf zahir & batin.

Semoga Ramadhan yang berlalu membawa makna kepada semua warga Bukit Subang dan Denai Alam, dan semoga semangat Ramadhan berpanjangan melangkaui Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah dan seterusnya ke bulan-bulan berikutnya. Alhamdulillah, Surau Al-Mahdi kekal penuh dari 1 Ramadhan hingga ke malam 29 Ramadhan. Imarahkan surau sebagaimana kita mengimarahkannya sepanjang Ramadhan yang lalu.




Allah Akbar, Allah Akbar, Allah Akbar!




15 September 2009

MB Selangor bersolat Jumaat di Surau Al-Mahdi

Pada Jumaat 11/9/09, MB Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim telah bersama-sama bersolat Jumaat di Surau Al-Mahdi. Ini merupakan kunjungan pertama MB sejak surau ini mula digunakan.
YAB Tan Sri hanya sempat meluangkan masa sebentar sahaja di Surau Al-Mahdi. Namun begitu, beliau sempat menyorot kembali hasil kerja beliau di Bukit Subang semasa beliau menerajui Guthrie Bhd. Semoga dengan kunjungan beliau ke Bukit Subang, Surau Al-Mahdi dan Bukit Subang dapat tempias pembangunan kerajaan negeri Selangor.


YAB Tan Sri bersama-sama Pengerusi Surau Sdr Tarmizi, Sdr Jamil dan Bendahari Surau Sdr Arwan


YAB Tan Sri berbincang sesuatu dengan YB Khalid Samad dengan diperhatikan oleh Sdr Tarmizi dan Sdr Jamil




YB Khalid Samad diiringi keluar oleh Bilal Hj Akhiruddin


YAB Tan Sri bersalaman dengan jemaah selepas Solat Jumaat


Gambar-gambar ihsan dari Sdr Faisal.