28 Jun 2009

Sedikit Sebanyak Tentang Pengurusan Harta




Taklimat Pengurusan Harta yang diadakan oleh Wasiyyahshoppe pada Sabtu 20/6/09 sedikit sebanyak membuka mata sebahagian dari jemaah yang hadir.

Salah satu perkara yang boleh dikongsi bersama di sini ialah tentang penama untuk simpanan KWSP dan Tabung Haji. Mereka yang dinamakan sebagai penama untuk simpanan KWSP/Tabung Haji bukannya penerima pusaka dari wang simpanan tersebut. Penama berkenaan merupakan wasi atau pemegang amanah. Beliau wajib menguruskan pembahagian wang simpanan tersebut menurut Hukum Faraid. Sekiranya beliau mengambil keseluruhan wang tersebut tanpa menguruskannya terlebih dahulu (membayar hutang-hutang simati, menyempurnakan wasiat (jika ada) dan selebihnya membahagi-bahagikan kepada waris-waris mengikut hukum Faraid), maka beliau telah memakan harta yang batil. Di samping itu, roh simati akan tergantung kerana hutang-hutangnya tidak diselesaikan dsbnya.

Seperkara lagi yang wajar diketahui ialah tentang wasiat. Wasiat di dalam Islam adalah untuk harta-harta yang hendak diberikan kepada bukan waris (seperti anak angkat dll) atau untuk tujuan fisabilillah (untuk rumah anak yatim, masjid, tabung pelajaran dll) dan jumlah yang boleh diwasiatkan tidak lebih dari 1/3 dari keseluruhan harta.
Harta yang difaraidkan kepada waris-waris adalah baki harta yang telah ditolak terlebih dahulu hutang-hutang simati, harta yang diwasiatkan dan harta sepencarian. Waris-waris juga wajar memastikan agar harta simati tidak digunakan untuk urusan kenduri tahlil arwah supaya tidak terguna atau termakan harta yang belum dibersihkan (dari hutang & wasiat), harta anak yatim dan harta waris-waris simati yang lain.

Oleh yang demikian, wajarlah kita sebagai umat Islam memastikan yang kita menguruskan harta kita sebelum mati supaya kematian kita nanti tidak menyusahkan waris-waris dan roh kita tidak tergantung kerana hutang-hutang yang tidak dibayar.

Untuk maklumat lanjut tentang pengurusan harta, bolehlah berhubung dengan Wasiyyahshoppe (013-928 5555/03-7842 3667 atau http://www.wasiyyahshoppe.com.my/). Disyorkan juga untuk membaca buku-buku tentang pengurusan harta dan Hukum Faraid yang banyak terdapat di dalam pasaran. Salah satu buku yang ringkas dan mudah difahami ialah buku bertajuk Urus Harta Sebelum Mati tulisan Us Md Ghazali Ibrahim berharga RM20. Buku ini ada di Surau Al-Mahdi (kecuali jika dipinjam oleh jemaah lain).


Sekian dan ingatlah selalu soalan ini: "Hartamu, ke mana dibelanjakan?"




Wassalam.

2 ulasan:

  1. Tahniah saya ucapkan.

    Disini saya nak syorkan kpd AJK agar dpt diadakan Tazkirah Kewangan spt di Masjid TTDI Jaya. Untuk maklumat sila rujuk http://www.shamsuddinkadir.com/v2009/tazkirah-masjid/

    Wasalam,

    BalasPadam
  2. Utk pengetahuan, penulis buku diatas adalah abang kpd arwah ustaz asri rabbani.

    BalasPadam