20 Mei 2009

Program SMART Solat


Alhamdulillah, program SMART Solat berjaya dilaksanakan pada Sabtu 16/5/09 bertempat di Surau Al-Mahdi. Program disertai oleh 100 orang peserta yang terdiri dari kanak-kanak berumur antara 6 hingga 12 tahun. Beberapa permohonan terpaksa ditolak kerana pihak penganjur telah menetapkan untuk menerima 100 orang peserta sahaja supaya bilangan yang dikendalikan oleh setiap seorang fasilitator hanya 10 orang peserta sahaja. Namun begitu, kerana perbezaan umur dan bilangan peserta perempuan melebihi peserta lelaki, maka ada fasilitator yang terpaksa mengendalikan lebih dari 10 orang peserta.



Terima kasih diucapkan kepada semua ibubapa yang sudi menghantar anak-anak mereka mengikuti program ini. Tahniah diucapkan kerana tuan/puan telah menunaikan sebahagian dari tanggungjawab fardu ain menuntut ilmu ke atas anak-anak tersebut. Terima kasih diucapkan kepada barisan fasilitator dari Darul Quran yang diketuai oleh Us Rabiatul Adawiyyah bt Mohd Nasir kerana sanggup datang dari jauh untuk sama-sama berkongsi ilmu. Jutaan terima kasih diucapkan kepada para dermawan yang menaja sebahagian dari kos program iaitu Sdr Ismail dan Sdr Azmira (Al-Azza Services (Etiqa)) dan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada penganjuran program ini.


Insya Allah, jika ada permintaan, program seumpama ini untuk remaja akan juga diadakan.

Wassalam.


Gambar-gambar Program SMART Solat - 5
















Gambar-gambar Program SMART Solat - 4
















Gambar-gambar Program SMART Solat - 3
















Gambar-gambar Program SMART Solat - 2
















14 Mei 2009

Program SMART Solat

Assalamualaikum wbk.

Selepas tarikh tutup permohonan pada Rabu 13/5/09, terdapat 66 peserta yang mendaftar untuk program SMART Solat bagi mereka yang berumur antara 9-11 tahun. Oleh itu, permohonan kini dibuka kepada semua kanak-kanak yang berumur antara 7-12 tahun. Tarikh tutup dilanjutkan sehingga jam 2 petang Jumaat 15/5/09.

Sehingga info ini ditulis, masih terdapat 20 kekosongan sahaja. Segeralah mendaftar.

Bagi mereka yang telah menghantar borang ke surau dan permohonan telah diterima, sila hadir ke Surau Al-Mahdi sebelum jam 8.30pagi Sabtu 16/5/09. Tiada pakaian khas ditetapkan, namun sebagai orang Melayu, adalah wajar bagi peserta lelaki memakai baju Melayu bersongkok atau kopiah dan peserta perempuan pula diminta memakai pakaian menutup aurat. Peserta perempuan diminta membawa telekong sendiri. Senarai peserta akan dipamerkan di Papan Kenyataan Surau.

Sekian.

07 Mei 2009

PROGRAM SMART SOLAT


Assalamualaikum wbk,

Dimaklumkan bahawa Surau Al-Mahdi akan menganjurkan Program Smart Solat pada hari Sabtu 16/5/09 dari jam 8.30 pagi hingga 5.00ptg. Program ini bertujuan untuk mendedahkan kanak-kanak yang mula akil baligh dengan cara-cara yang betul untuk mengerjakan solat. Program akan dikendalikan oleh fasilitator dari Darul Quran, Kuala Kubu Bharu. Program ini disasarkan kepada pelajar berusia 9-11 tahun dan terhad kepada hanya seramai 100 orang sahaja. Tarikh tutup penyertaan pada 13/5/09. Sila isikan borang permohonan penyertaan yang mula diedarkan di surau pada hari ini. Sekiranya terdapat lebih 100 permohonan, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang menghantar borang awal. Makanan untuk sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari dan minum petang akan disediakan kepada peserta-peserta. Insya Allah, penyediaan makanan akan dilakukan oleh Maahad Tahfiz.
Tentatif program adalah seperti berikut:

8.30 pagi : Pendaftaran Pelajar & Sarapan pagi
9.00 pagi : Solat sunat Dhuha
9.15 pagi : Program dimulakan
12.45 t/hari : Makan tengahari
1.12 t/hari : Solat Zohor berjemaah
1.45 ptg : Ujian amali Solat
4.00 ptg : Majlis Penutup dan Penyerahan Sijil-sijil Penyertaan
4.35 ptg : Solat Asar berjemaah

Bayaran pendaftaran RM5 dikenakan untuk setiap peserta bagi memastikan semua peserta komited dan menghargai penyertaan mereka di dalam program ini. Kos pengendalian program ini sebenarnya dianggarkan sebanyak RM30 bagi seorang peserta dan dana surau digunakan untuk menampung kos selebihnya.
Kita semua mengetahui bahawa "Menuntut ilmu itu wajib ke atas semua muslimin". Oleh itu, benarkanlah anak-anak kita mengikuti program ini kerana di dalam Islam, ilmu yang wajib dituntut adalah ilmu yang mendekatkan kita kepada kesempurnaan ibadah, dan program ini menjurus ke arah menyempurnakan amalan solat. Anggaplah masa yang dihabiskan di dalam program ini sebagai satu pengorbanan. Saban hari kita menghabiskan masa dengan perkara-perkara keduniaan, maka apalah salahnya mengorbankan 9 jam hari Sabtu anak anda untuk program ini demi kebaikan mereka.

Sila war-warkan kepada rakan-rakan dan anak-anak jiran tuan-puan.


Semoga program ini diberkati Allah. Sumbangan ikhlas untuk program akan datang amat dialu-alukan.

04 Mei 2009

Jadual Kuliah Minggu Ini (4/5 - 10/5/09)

Isnin 4/5/09
- Kuliah Maghrib Us Firdaus menyambung Tafsir Surah Al-Kahfi

Jumaat 8/5/09
- Kuliah Maghrib Us Mazlan membincangkan Kitab Sirah Rasulullah

Ahad 10/5/09
- Kelas Tajwid Us Usuluddin selepas Solat Maghrib