28 Disember 2009

Gotong Royong Perdana

Alhamdulillah, Gotong Royong Perdana berjalan seperti yang dirancang. Terima kasih kepada semua wakil dari persatuan-persatuan penduduk dan surau-surau di sekitar Taman Bukit Subang, wakil jemaah dari Denai Alam dan wakil-wakil pertubuhan politik yang dijemput kerana telah hadir dan memberikan sumbangan tenaga dan sokongan moral. Terima kasih di atas sumbangan kewangan dari individu-individu dari kalangan jemaah. Walaupun tiada sumbangan kewangan dari badan-badan pertubuhan politik dan persatuan penduduk, namun program dapat mencapai matlamatnya. Tahniah dan jazakallahu khairan kathira kepada semua yang hadir (lebihkurang 30 orang) kerana menghabiskan masa cuti bersama-sama menyiapkan kerja asas tapak khemah. Semoga sumbangan titik peluh ikhlas dari mereka yang hadir dilimpahkan ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT dan menjadi amal jariah berkekalan.

Terima kasih juga diucapkan kepada YB Khalid Samad kerana sudi meluangkan masa meninjau perjalanan program.

Di bawah ini disertakan gambar-gambar sekitar gotong royong yang diadakan pada pagi Sabtu 26/12/09.

Wassalam.



YB Khalid bersama Sdr Tarmizi dan Arwan






Kanak-kanak turut sama membantu


YB Khalid bersama Sdr Tarmizi dan Sdr Jamil


Imam Syobah, Ust Mazlan dan Sdr Azmira


Tanah-tanah yang telah digali dibawa ke tempat buangan dengan kereta sorong


Panas mentari tak menjadi halangan....


Tenaga belia digunakan untuk mengangkat tanah

23 Disember 2009

Gotong Royong Perdana

Insya Allah, Surau Al-Mahdi akan mengadakan Gotong Royong menyediakan tapak khemah separuh kekal di kiri bangunan surau pada hari Sabtu 26/12/2009 bermula jam 9 pagi. Semua anak kariah di sekitar Taman Bukit Subang dan Denai Alam dialu-alukan untuk sama-sama hadir bergotong royong sambil merapatkan silaturrahim sesama insan dari berbagai lapisan masyarakat. Sumbangan berupa tunai/barangan amat dialu-alukan untuk menampung kos gotong royong dan projek seperti bahan-bahan pasir, batu, simin dan jubin seramik, dan peralatan seperti cangkul, kereta sorong, dan lain-lain.Tajaan makanan dan minuman juga dialu-alukan.
Semoga sumbangan ikhlas semua sukarelawan dan dermawan mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.
Wassalam.

15 Disember 2009

Khatan Perdana

Alhamdulillah, Program Khatan Perdana anjuran MPP Zon 22 dengan kerjasama Surau Al-Mahdi, Surau Nurul Iman dan Surau Al-Falah berjaya dilaksanakan. Seramai 36 orang kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 11 tahun telah dapat dikhatankan. Majlis meraikan peserta-peserta khatan telah diadakan pada hari Sabtu 5/12/09 dengan Solat Hajat & Doa Selamat di Surau Al-Mahdi dan disudahi dengan merenjis air mawar & jamuan makan di Dewan Rafflesia. Acara berkhatan pada pagi Ahad 6/12/09 telah dimulakan dengan perarakan peserta-peserta khatan dari perkarangan Surau Al-Mahdi hingga ke Dewan Rafflesia dengan iringan paluan kompang. Peserta-peserta khatan telah didukung/dijunjung oleh bapa/penjaga masing-masing semasa perarakan tersebut dan mereka kemudian di'siram' dengan pancuran paip Bomba sebelum dibawa ke Bilik Khatan di dalam Dewan Rafflesia.

Operasi berkhatan bermula pada jam 9.45 pagi dan berakhir pada jam 2.45 petang.


Terima kasih kepada semua peserta khatan, para ibubapa, Mediklinik Bukit Subang & 6 orang pembantu perubatannya, pihak Bomba Sg Buloh, pihak RELA, MPP Zon 22 dan semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.


Jazakallahu khairan kathira.




Peserta-peserta khatan diraikan di pentas




Menerima bunga rampai dari VIP




Berbaris menunggu bermulanya acara perarakan



Acara perarakan dengan iringan paluan kompang



Acara ber'siram'



Berehat sebentar selepas selamat dikhatankan...

02 Disember 2009

Qurban 1430H

Alhamdulillah, kita telah berjaya sempurnakan majlis Qurban yang diadakan pada petang Hari Raya Qurban lalu. Terima kasih kepada semua peserta Qurban dan petugas-petugas sukarela yang membantu menguruskan upacara Qurban tersebut. Jazakallahu khairan kathira.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar upacara Qurban tersebut:

Menumbangkan Lembu

Melapah.....

Memotong & membahagi ....