28 Jun 2009

Sedikit Sebanyak Tentang Pengurusan Harta




Taklimat Pengurusan Harta yang diadakan oleh Wasiyyahshoppe pada Sabtu 20/6/09 sedikit sebanyak membuka mata sebahagian dari jemaah yang hadir.

Salah satu perkara yang boleh dikongsi bersama di sini ialah tentang penama untuk simpanan KWSP dan Tabung Haji. Mereka yang dinamakan sebagai penama untuk simpanan KWSP/Tabung Haji bukannya penerima pusaka dari wang simpanan tersebut. Penama berkenaan merupakan wasi atau pemegang amanah. Beliau wajib menguruskan pembahagian wang simpanan tersebut menurut Hukum Faraid. Sekiranya beliau mengambil keseluruhan wang tersebut tanpa menguruskannya terlebih dahulu (membayar hutang-hutang simati, menyempurnakan wasiat (jika ada) dan selebihnya membahagi-bahagikan kepada waris-waris mengikut hukum Faraid), maka beliau telah memakan harta yang batil. Di samping itu, roh simati akan tergantung kerana hutang-hutangnya tidak diselesaikan dsbnya.

Seperkara lagi yang wajar diketahui ialah tentang wasiat. Wasiat di dalam Islam adalah untuk harta-harta yang hendak diberikan kepada bukan waris (seperti anak angkat dll) atau untuk tujuan fisabilillah (untuk rumah anak yatim, masjid, tabung pelajaran dll) dan jumlah yang boleh diwasiatkan tidak lebih dari 1/3 dari keseluruhan harta.
Harta yang difaraidkan kepada waris-waris adalah baki harta yang telah ditolak terlebih dahulu hutang-hutang simati, harta yang diwasiatkan dan harta sepencarian. Waris-waris juga wajar memastikan agar harta simati tidak digunakan untuk urusan kenduri tahlil arwah supaya tidak terguna atau termakan harta yang belum dibersihkan (dari hutang & wasiat), harta anak yatim dan harta waris-waris simati yang lain.

Oleh yang demikian, wajarlah kita sebagai umat Islam memastikan yang kita menguruskan harta kita sebelum mati supaya kematian kita nanti tidak menyusahkan waris-waris dan roh kita tidak tergantung kerana hutang-hutang yang tidak dibayar.

Untuk maklumat lanjut tentang pengurusan harta, bolehlah berhubung dengan Wasiyyahshoppe (013-928 5555/03-7842 3667 atau http://www.wasiyyahshoppe.com.my/). Disyorkan juga untuk membaca buku-buku tentang pengurusan harta dan Hukum Faraid yang banyak terdapat di dalam pasaran. Salah satu buku yang ringkas dan mudah difahami ialah buku bertajuk Urus Harta Sebelum Mati tulisan Us Md Ghazali Ibrahim berharga RM20. Buku ini ada di Surau Al-Mahdi (kecuali jika dipinjam oleh jemaah lain).


Sekian dan ingatlah selalu soalan ini: "Hartamu, ke mana dibelanjakan?"




Wassalam.

26 Jun 2009

Ayat Kursi

Sejarah Ayat Kursi
Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah S.A.W. dengan segera memerintahkan Zaid bSabit menulis serta menyebarkannya.

Fadhilat Ayat Kursi
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpeliharadengan izin Allah S.W.T.

Mengikut Hadis-Hadis Rasullullah S.A.W. bersabda bermaksud:

"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya."

"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar." Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.

Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, iaakan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur, perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi, juga Allah melimpahkan padanya rahmat.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azzawajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.

Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Marilah kita sama-sama mengamalkan membaca Ayat Kursi dengan penuh khusyuk.

16 Jun 2009

Taklimat Pengurusan Harta

Assalamualaikum wbk,

Surau Al-Mahdi akan mengadakan sesi taklimat Pengurusan Harta bagi mendedahkan anak-anak kariah dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan harta peninggalan. Kebanyakan orang-orang Islam gagal menguruskan hartanya sebelum ia meninggal dunia hingga menimbulkan masalah kepada waris-warisnya. Kerap terjadi kejadian pertelingkahan kerana berebut harta hinggakan ada yang termakan harta anak yatim sama ada secara sengaja atau tak sengaja, dan memakan hak simati sebelum hartanya dibersihkan dari hutang lantaran kegagalan simati menguruskan hartanya semasa beliau masih hidup.

Sesi taklimat ini akan menyentuh tentang sistem faraid, hibah, wasiat, harta sepencarian dan perkara-perkara berkaitan pengurusan harta. Pihak Surau Al-Mahdi telah menjemput Tetuan Wasiyyahshoppe untuk memberikan taklimat tersebut pada ketentuan berikut:

Tarikh: Sabtu 20/6/09
Masa: 10.00 pagi
Tempat: Surau Al-Mahdi.

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir. Sila war-warkan kepada rakan-rakan dan jiran-jiran terdekat.

Sekian, dan wassalam wbk.

14 Jun 2009

Takaful Khairat Kematian

Ahli-ahli kariah Bukit Subang dialu-alukan untuk menyertai Skim Takaful Khairat Kematian Surau Al-Mahdi yang baru sahaja ditubuhkan. Skim Takaful yang merupakan produk takaful dari Etiqa ini mengenakan bayaran sebanyak RM50 untuk satu keluarga setahun. Sekiranya berlaku kematian, manafaat yang dibayar melalui skim ini adalah:

1) Kematian Ahli - RM5,000
2) Kematian Pasangan Ahli - RM4,000
3) Kematian Anak ahli - RM500

Permohonan untuk menyertai skim ini kini dibuka mulai 15/6/09 sehingga 14/7/09. Selepas dari tarikh ini, permohonan akan ditutup dan ahli-ahli kariah yang ingin menyertainya hanya boleh berbuat demikian apabila skim ini diperbaharui pada tahun hadapan.

Untuk menyertai skim ini, sila dapatkan borang penyertaan di surau atau dari mana-mana AJK Surau Al-Mahdi. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sdr Firdaus (012-3761577), atau Sdr Azmira dari Al-Azza Services Sdn Bhd, syarikat yang dilantik untuk menguruskan skim ini.

Sekian.